Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang,

Alhamdulillah setinggi syukur kita panjatkan ke hadrat-NYA kerana berkat keredhaan dan keizinan-NYA kita telah berjaya melaksanakan dua buah program yang disatukan. Program yang pertama adalah Program Anjuran PBMS dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Hulu Langat dan Penggerak Masyarakat Orang Asli JAKIM (PMOA JAKIM).

Program kedua pula adalah program Kem Wawasan Remaja Islam ataupun singkatannya WARIS yang merupakan anjuran bersama PBMWP dan MASJID AL-NAJIHIN BANDAR SRI PERMAISURI.

Program tersebut yang telah dijalankan pada 11-13 JamadilAwal 1432H ini telah menerima penyertaan seramai 86 orang yang menginap sementara di Pusat Kegiatan Ibadah dan Riadah (PKIR) Tekala, Semenyih. Para peserta terdiri daripada pihak PBMS, pihak PBMWP, pelajar sekolah menengah, dan seramai 14 orang Saudara Baru (Muallaf) dari JAWI yang terpilih. Setinggi perhargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada YAYASAN TAKWA kerana telah meluluskan sumbangan sebanyak RM 3,000.00 untuk menampung kos program ini.

Aktiviti hari pertama adalah sesi taaruf dimana semua peserta program menjalani sesi taklimat & suai kenal sesama peserta disamping salah seorang daripada Saudara Baru dari JAWI menceritakan kisah dan pengalaman beliau dalam memeluk agama islam.

Keesokan harinya, peserta melaksanakan Ziarah Dakwah ke Perkampungan Orang Asli Sg. Gabai. Alhamdulillah kehadiran kami disambut baik di kampung yang diselia oleh Ustaz Muhyidin (PMOA JAKIM Pangsun). Ziarah Dakwah dimulakan dengan aktiviti ceramah sembelihan halal yang disampaikan oleh Ustaz Muhyidin sendiri. Sesi seterusnya disambung dengan sesi Praktikal Sembelihan ayam sebanyak 30 ekor dan arnab sebanyak 2 ekor. Lori JAKOA juga turut membantu urusetia membawa makan dan kelengkapan seperti khemah yang digunakan di perkampungan orang asli tersebut. Sesi kemudian berakhir dengan para peserta yang terdiri dari saudara baru dan pelajar, wakil PMOA JAKIM dan Hj Aziz (Pegawai JAKOA Daerah Hulu Langat) menyampaikan sumbangan hamper dan ayam mentah kepada 21 Keluarga yang terdapat di dalam kampung tersebut. Hamper diserahkan terus ke rumah Masyarakat Orang Asli sesuai dengan matlamat ziarah dakwah ini. Pada jam 3 petang, para peserta seterusnya pulang kembali ke PKIR untuk menyambung program seterusnya.

Pada malam minggu tersebut, Sesi AKHLAK dilaksanakan dimana para pelajar mempersembahkan Lakonan dari kumpulan masing-masing yang diadili oleh 5 orang wakil Saudara Baru dari JAWI. Pelbagai tajuk yang dikemukakan untuk menjadi tontonan para peserta yang hadir. Antara tajuk-tajuk lakonan adalah anak derhaka, sahabat sejati, buli dan lain-lain lagi.

Keesokan harinya iaitu hari ahad disambung dengan aktiviti jungle trekking dimana para peserta dibawa meredah hutan yang berakhir di Taman Semaian milik orang Asli. Disana para peserta melaksanakan kerja kebajikan dengan membantu memasukan tanah kedalam beg semaian dan menyusun kembali (menggredkan) anak-anak pokok. Ini merupakan salah satu cara berdakwah kepada masyarakat orang asli dengan membantu mereka disamping memupuk nilai-nilai murni kebajikan terhadap diri peserta. Selepas majlis penutup, para peserta dihantarkan pulang ke lokasi-lokasi selepas makan tengahari dan solat zohor.

Sehubungan dengan itu, kami penganjur merakamkan jutaan terima kasih dan setinggi perhargaan kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung ataupun tidak lansung di dalam menjayakan program ini. Semoga kita mampu terus bekerjasama dalam melaksanakan tugas suci LillahiTa’ala ini. InsyaAllah.