Dalam menyahut seruan Allah untuk memakmurkan masjid-masjid, juga bagi merealisasikan tujuan pembinaan kemudahan ini dengan sebaik-baiknya, sebagaimana yang diharapkan oleh Nabi Muhammad S.A.W, Persatuan Belia Masjid Selangor (PBMS) merasa bahawa perlunya program-program yang boleh mengimarahkan masjid terutamanya di kalangan belia-belia. Bermula dari titik tolak itulah pihak kami mengambil inisiatif untuk menubuhkan persatuan yang didaftarkan di bawah Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia serta mencari peluang mengadakan program-program seperti itu agar masjid-masjid yang sedia ada ini lebih bergerak aktif.

Mengambil dari pepatah Melayu “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” maka perlaksanaan program-program belia akan dimulakan dari umur 15 tahun hingga 40 tahun. kerana selain mudah terpengaruh mereka juga masih boleh dibentuk dan diberi kefahaman serta masih memerlukan bimbingan peringkat awal. Projek ini dipilih kerana ianya bersesuaian dengan misi dan visi penubuhan Persatuan ini sendiri iaitu melakukan aktiviti ibadah dan kebajikan, kemasyarakatan, menyumbang tenaga kepada masyarakat Islam, menjana masyarakat Rabbaniah dan mengembangkan misi Rahmatan lil ‘alamin melalui kewujudan golongan belia yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya serta mempunyai nilai-nilai murni bagi kepentingan pembangunan agama, masyarakat, bangsa dan negara. Selain mampu memberikan khidmat kepada masyarakat setempat khususnya dan masyarakat Malaysia amnya. Antara matlamat lain penubuhan persatuan adalah :

1. Salah satu landasan untuk mengimarahkan masjid.

2. Mewujudkan silaturrahim dikalangan belia-belia dan penduduk di seluruh kawasan masjid-masjid negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya.

3. Mewujudkan rasa kasih sayang serta percaya mempercayai antara satu sama lain melalui aktiviti yang dijalankan.

4. Membimbing anak-anak memahami Islam.

5. Menambah ilmu dan kemahiran anak-anak dalam bidang lain selain akademik.

6. Menanam sifat pentingnya hidup bermasyarakat dan kejiranan.

7. Memupuk semangat berdaya saing dalam aspek yang positif.

8. Menyediakan aktiviti tambahan yang berfaedah pada masa lapang.

9. Menanam sifat kepimpinan dalam diri belia-belia.

10. Membina dan mengeratkan hubungan silaturrahim sesama keluarga belia-belia.

11. Membina kerjajaya dan mendapatkan peluang-peluang perekonomian belia-belia.

12. Berusaha menjadikan institusi masjid sebagai pusat penyatuan ummah dan bebas dari sebarang perpecahan serta berusaha membetulkan tanggapan atau paradigma ummah terhadap peranan masjid sebenar.